Mahkota EPL: Penentuan Malam Ini
MENJELANG tengah malam ini (waktu Malaysia), siapa juara Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini akan diketahui – Manchester City atau Manchester United (MU).
Selepas enam hari, saingan EPL, kembali menerjah jutaan peminat bola sepak – sama ada tempatan atau luar negara – menyaksikan dua pasukan teratas terus bersaing dalam memburu gelaran juara.
Paling hampir mencipta sejarah adalah City yang hanya memerlukan kemenangan ketika apabila bertemu Queen Park Ranger (QPR) dalam perlawanan terakhir musim ini bagi memastikan gelaran juara EPL dibawa pulang ke kelab itu.
Dalam perlawanan terakhir musim ini, City dilihat berada pada kedudukan terbaik selepas mencipta kemenangan tiga kali berturut-turut ketika menentang MU, Norwich City dan Wolverhampton dalam tiga perlawanan terakhir mereka.
Perlawanan malam esok bukan sahaja menyaksikan persaingan merebut gelaran juara tetapi juga untuk merealisasikan impian City yang ingin menamatkan kemarau 44 tahun tanpa kejuaraan EPL sejak memenanginya pada tahun 1968.
Walau bagaimanapun, beraksi di halaman sendiri, City perlu berhati-hati kerana pasukan pelawat bukan sebuah pasukan yang harus dipandang ringan. Dengan memiliki rekod yang baik serta pernah membuat kejutan ketika menewaskan bekas pendahulu Liga EPL, MU dan ini tidak mustahil kelab itu mampu melakukan kejutan sekali lagi ke atas City.
“Kami semakin menghampiri gelaran juara, dan kami akan melakukan yang terbaik untuk mencapai impian kami serta menyekat kegemilangan MU yang selama ini memegang takhta pendahulu Liga.
“Apa pun, kami tidak akan memandang rendah terhadap kemampuan lawan kerana bagi saya mereka adalah sebuah pasukan yang hebat.
“Peluang untuk perlawanan esok (hari ini) antara kedua-dua pasukan dilihat seimbang. Oleh itu, saya menggesa pemain-pemain saya akan beraksi dengan cemerlang untuk membuktikan kita mampu bergelar juara,” kata Mancini.
Pada masa yang sama, walaupun dipisahkan dengan hanya perbezaan jaringan gol, itu tidak bermakna kedudukan yang dimiliki oleh City membolehkan mereka mendabik dada dan berangan-angan untuk dinobatkan juara EPL musim ini.
Apa yang dilihat, keazaman yang tinggi dalam mempertahankan kejuaraan dan misi memburu gelaran ke-20 masih agenda penting kepada MU dan itu harus dipandang serius oleh City agar impian untuk menjulang juara tidak akan berkecai.
Turun dengan misi mesti menang dalam perlawanan menentang Sunderland malam ini – waktu yang sama – pasti menjanjikan satu perlawanan yang sengit. Enggan mengaku kalah sebelum berjuang membuatkan pengurus MU, Sir Alex Ferguson optimis pemainnya mampu untuk memenangi perlawanan terakhir.
Dengan semangat yang tinggi dan berjuang berhabis-habisan tidak mustahil mereka mampu memusnahkan impian pesaingnya.
“Kami akan melakukan yang terbaik malam esok (ini) demi memusnahkan impian City.
“Saya turut berharap keajaiban akan berlaku dimana nasib akan menyebelahi QPR untuk membenam City sekali gus menyekat misi kelab itu untuk menjulang juara,” tegas Ferguson. – Sinar Harian
No comments:
Post a Comment